Sunday, March 9, 2014

DOAKU UNTUKMU

 Bismillahirrahmanirrahim

Dari Abu Darda' r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda:
"Doa seorang Muslim kepada saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya itu mustajab, pada kepala seorang Muslim itu ada malaikat yang diberi tugas dimana bila ia mendoakan baik kepada saudaranya maka malaikat yang diberi tugas itu mengucapkan; 'Semoga Allah mengabulkan & untukmu juga seperti itu.'"
[Riwayat Imam Muslim]

Ahmad & Ali dua orang sahabat karib, mereka tinggal berjiran. Kedua-duanya hidup dalam kesempitan & kemiskinan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk solat & berdoa.

"Apa doamu pada hari ini?" tanya Ahmad kepada sahabatnya.

"Aku pinta semoga hari esok aku dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaanku lebih daripada biasa," jawab Ali.

"Doa kau?" Ali pula bertanya.

Ahmad cuma tersenyum tanpa berkata apa-apa.

Keesokan hari Ali memberitahu Ahmad berita gembira. "Alhamdulillah doa aku semalam dimakbulkan Allah. Majikanku beri bonus pada hari ini."

"Alhamdulillah. Hari ini kau akan berdoa apa pula?" tanya Ahmad.

"Aku berdoa moga isteriku selamat bersalin," jawab Ali.

Mereka berdua masuk ke masjid & mengerjakan solat dan masing-masing berdoa.

Sejurus usai berdoa, Ali bertanya, "Kau pula berdoa untuk apa hari ini?"

Ahmad senyum. Masih tiada jawapan.

Beberapa hari kemudian Ali memberitahu berita gembira. "Syukur isteriku selamat melahirkan anak lelaki malam tadi. Nampaknya doaku makbul, Mad."

"Tahniah, Ali. Aku berdoa juga agar anakku selamat," kata Ahmad dengan wajah muram.

"Kenapa dengan anak kau?" tanya Ali

"Anakku yang bongsu sakit, Ali. Keadaannya amat membimbangkan."

"Insya Allah kau doalah kuat sikit. Minta anakmu selamat," kata Ali.

Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya.

"Bagaimana dengan anak kau?" tanya Ali

"Macam itu juga. Sudah beberapa hari, tapi keadaannya cuma bertambah baik sikit sahaja."

"Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan, Allah makbulkan. Tapi kau..." kata Ali.

"Kenapa dengan aku?"

"Mad, aku lihat doa kau tidak mustajab."

Ahmad tersenyum. Melihat Ahmad tersenyum, Ali semakin hairan lalu bertanya lagi, "Aku hairan, doa kau tidak mustajab tapi kau masih mampu lagi untuk tersenyum?"

"Sebenarnya doaku telah pun dimakbulkan Allah. Syukur Alhamdulillah."

"Doa yang mana? Sebab aku lihat tiada apa-apa perubahan pun pada kau."

"Doaku sejak dulu hanya untuk kau, sahabatku.Setiap hari aku berdoa moga Allah kabulkan setiap apa yang kau doakan kepada-Nya."
Alangkah indah jika kita saling mendoakan? Tidak perlukan sebarang bayaran. Tidak perlukan sebarang pinjaman. Tidak perlukan sebarang cagaran. Hanya perlukan secebis keikhlasan yang akhirnya jika cebisan-cebisan tersebut digabungkan akan terhasil sebuah kebahagiaan & ketenangan yang tidak dapat dijual beli.

Perlu untuk selalu kita ingat bahawa apa yang kita miliki pada saat ini, bukan usaha mutlak diri kita sendiri. Dalam kejayaan, kebahagiaan, ketenangan kita, ada doa mereka. Di luar sana, ada seseorang yang tidak pernah jemu untuk terus mendoakan buat kita. Tidak pernah lupa & tidak pernah berkira walau setiap ketika melepasi tembok kasih & sayang.

Moga Allah mengabulkan & mengurniakan hanya yang terbaik buat mereka yang mendoakan untukku seperti mana apa yang mereka pinta di dalam doa kepada-Nya. Amiin ..

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment