Thursday, March 27, 2014

Putus Asa Itu Membunuh



Seorang pekerja di kilang makanan sejuk beku telah terperangkap tanpa tersengaja dalam sebuah bilik sejuk beku. Puas dicuba untuk membuka pintu tetapi tidak berdaya. Dia menjerit, tiada siapa yang mendengarnya.

Kedinginan mula menyerap ke dalam tubuhnya. Dia begitu takut dan bimbang. Siapa yang akan menyelamatkannya?
Setelah ditunggu beberapa lama, tiada siapa pun yang datang. Kali ini pekerja itu benar-benar berputus asa. Dalam hatinya terdetik, kali ini matilah aku.
Dirasakannya kedinginan bilik itu semakin mengigit hingga ke tulang. Setelah berasa yakin tiada siapa yang dating, pekerja itu mengeluarkan sekeping nota dan dia mula menulis…surat wasiat!
Dalam surat wasiat itu dengan sedih dia berpesan dan memberi amanat kepada isteri dan anak-anaknya. Bukan itu sahaja, dia turut menceritakan apa sahaja yang dirasakannya saat itu, termasuk sejuk menggigil yang mencengkam sampai ke tulang.
Keesokan harinya, apabila pintu bilik sejuk itu dibuka oleh beberapa pekerja yang lain, mereka terkejut melihat sekujur mayat terbujur kaku dengan surat wasiat di tangan. Dan mereka lebih terkejut, bagaimana pekerja itu boleh mati? Kerana kesejukan? Tidak, kerana bilik sejuk itu tidaklah sedingin mana. Suis penghawa dingin bilik itu sejak semalam telah dimatikan!
Putus asa menyebabkan ramai manusia mati sebelum mati. Malah ada yang mati berkali-kali sebelum mati yang sebenar. Hiduplah selagi hidup. Berusahalah dan berjuanglah berbekalkan satu harapan. Keep your hope alive!

Sunday, March 9, 2014

DOAKU UNTUKMU

 Bismillahirrahmanirrahim

Dari Abu Darda' r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda:
"Doa seorang Muslim kepada saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya itu mustajab, pada kepala seorang Muslim itu ada malaikat yang diberi tugas dimana bila ia mendoakan baik kepada saudaranya maka malaikat yang diberi tugas itu mengucapkan; 'Semoga Allah mengabulkan & untukmu juga seperti itu.'"
[Riwayat Imam Muslim]

Ahmad & Ali dua orang sahabat karib, mereka tinggal berjiran. Kedua-duanya hidup dalam kesempitan & kemiskinan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk solat & berdoa.

"Apa doamu pada hari ini?" tanya Ahmad kepada sahabatnya.

"Aku pinta semoga hari esok aku dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaanku lebih daripada biasa," jawab Ali.

"Doa kau?" Ali pula bertanya.

Ahmad cuma tersenyum tanpa berkata apa-apa.

Keesokan hari Ali memberitahu Ahmad berita gembira. "Alhamdulillah doa aku semalam dimakbulkan Allah. Majikanku beri bonus pada hari ini."

"Alhamdulillah. Hari ini kau akan berdoa apa pula?" tanya Ahmad.

"Aku berdoa moga isteriku selamat bersalin," jawab Ali.

Mereka berdua masuk ke masjid & mengerjakan solat dan masing-masing berdoa.

Sejurus usai berdoa, Ali bertanya, "Kau pula berdoa untuk apa hari ini?"

Ahmad senyum. Masih tiada jawapan.

Beberapa hari kemudian Ali memberitahu berita gembira. "Syukur isteriku selamat melahirkan anak lelaki malam tadi. Nampaknya doaku makbul, Mad."

"Tahniah, Ali. Aku berdoa juga agar anakku selamat," kata Ahmad dengan wajah muram.

"Kenapa dengan anak kau?" tanya Ali

"Anakku yang bongsu sakit, Ali. Keadaannya amat membimbangkan."

"Insya Allah kau doalah kuat sikit. Minta anakmu selamat," kata Ali.

Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya.

"Bagaimana dengan anak kau?" tanya Ali

"Macam itu juga. Sudah beberapa hari, tapi keadaannya cuma bertambah baik sikit sahaja."

"Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan, Allah makbulkan. Tapi kau..." kata Ali.

"Kenapa dengan aku?"

"Mad, aku lihat doa kau tidak mustajab."

Ahmad tersenyum. Melihat Ahmad tersenyum, Ali semakin hairan lalu bertanya lagi, "Aku hairan, doa kau tidak mustajab tapi kau masih mampu lagi untuk tersenyum?"

"Sebenarnya doaku telah pun dimakbulkan Allah. Syukur Alhamdulillah."

"Doa yang mana? Sebab aku lihat tiada apa-apa perubahan pun pada kau."

"Doaku sejak dulu hanya untuk kau, sahabatku.Setiap hari aku berdoa moga Allah kabulkan setiap apa yang kau doakan kepada-Nya."
Alangkah indah jika kita saling mendoakan? Tidak perlukan sebarang bayaran. Tidak perlukan sebarang pinjaman. Tidak perlukan sebarang cagaran. Hanya perlukan secebis keikhlasan yang akhirnya jika cebisan-cebisan tersebut digabungkan akan terhasil sebuah kebahagiaan & ketenangan yang tidak dapat dijual beli.

Perlu untuk selalu kita ingat bahawa apa yang kita miliki pada saat ini, bukan usaha mutlak diri kita sendiri. Dalam kejayaan, kebahagiaan, ketenangan kita, ada doa mereka. Di luar sana, ada seseorang yang tidak pernah jemu untuk terus mendoakan buat kita. Tidak pernah lupa & tidak pernah berkira walau setiap ketika melepasi tembok kasih & sayang.

Moga Allah mengabulkan & mengurniakan hanya yang terbaik buat mereka yang mendoakan untukku seperti mana apa yang mereka pinta di dalam doa kepada-Nya. Amiin ..

Wallahu'alam

Thursday, March 6, 2014

50 Sen Vs RM50

  Pada suatu hari,duit syiling 50 sen bertemu dengan kawan lamanya, duit kertas RM50. Dek terlalu sibuk bermusafir sana sini, bertukar tukar tangan, mereka jarang bersua. Apa tidaknya, wang kertas RM50 itu berjalan sakan, sampailah ke luar negara pun dijelajahnya. Duit syiling 50 sen, khidmatnya terbatas dalam negara sahaja.

    Wang kertas RM50 yang baru pulang dari Paris ditegur oleh duit syiling 50 sen yang dikenalinya itu di satu pesta membeli belah di ibu kota baru-baru ini. 


 "assalamualaikum.Apa khabar? lama tak nampak?" "Waalaikumussalam. Alhamdulillah sihat, tetapi penatlah sikit," jawab wang kertas RM50 ringkas. "Kenapa pula penat?" "Aku ni serata dunia pergi. Singapura, Indonesia, Eropah dan macam-macam tempat. Masuk hotel, pawagam, pasar raya dan banyak lagilah.
  

 "Hah, kau pula macam mana sekarang ni? Lama tak nampak?" Kini giliran wang kertas RM50 pula bertanya khabar wang syiling 50 sen. "Huh, aku macam tu la juga! Masuk masjid, tandas awam, kedai runcit. Keluar tandas awam balik, masuk masjid balik. Aku ni tidak sempat merasai ke luar negara macam kau."
  

 Mereka diam seketika. Sambil itu, mereka memandang gelagat pembeli yang sedang berebut-rebut membeli. Alah membeli menang memakai la tu. "Ehh...engkau bila lagi nak masuk masjid? tiba -tiba wang syiling 50 sen bertanya memecahkan kesepian.Wang kertas RM50 menoleh memandang wang syiling 50 sen, kelu seketika.
  

"Mengapa engkau tanya aku pula? tanyalah orang ramai yang membeli-belah tu." 

Serentak mereka tersenyum, senyum kambing...
                                                                  
Pengajaran: Apabila ingin menderma di masjid, jangan hanya bagi duit syiling sahaja. Jangan samakan nilai sedekah yang ingin diberi dengan nilai khidmat tandas awam yang kita biasa guna. Apa salahnya jika sekali sekala hulurlah pula duit kertas.

"Sebagian hartamu adalah milik mereka."